Malaysia Web Hosting

Monday, May 2, 2011

Tips Memilih Riadah Keluarga ( Bagi Saya Berbasikal Melayan Kebosanan Kerja )

THE SPORTS by 'theFLAMEs' SNAP Galleries
Gambar ini adalah gambar pertama kami dalam arena sukan berbasikal.
Teringat saya bila Pengarah Hospital Sg Buloh, bertanya pada 26hb April 2011, "Kemana semalam, dengar kata Cuti Sakit akibat jatuh berbasikal di FRIM, Kepong melalui laluan Freeride lebih 25 km?"

Nak membodek saya tak reti sangat, jadi saya mengiakannya.

Tup-Tap-Tup-Tap….. rupanya ada mesyuarat pada 25hb April 2011 tu, yang memerlukan kehadiran saya. Almaklumlah…. Mesyuarat Pengurusan yang sentiasa tak lekang dengan pelbagai celahan dan persoalan yang sering ditujukan kepada Pengarah yang saya hormati ini.

Dipendekkan cerita, Pengarah bertanya…. "Kenapa memilih riadah jenis ini? Tampak lasak dan berisiko." Saya menjawab dengan berhati-hati, "Ianya riadah keluarga yang banyak memerlukan tenaga, kepantasan pemikiran dan kekuatan stamina."

-----o0o-----

Menterjemahkan "Riadah Keluarga", saya rasa perlu dikongsikan bersama tips-tips berikut untuk pembaca dalam membuat pemilihan riada keluarga.

Tidak dapat tidak, semua kita mempunyai pilihan tersendiri untuk riadah berkeluarga. Ini termasuklah berbasikal (sekurang-kurangnya keliling taman perumahan), berjogging, berpiknik, berenang, bergotong royong membersihkan laman rumah, berkayak, memanjat gunung (wall climbing pun termasuklah juga tu) dan banyak lagi.
Tips dan Cara Saya Memilih Riadah Keluarga.
Diri Sendiri.
  • Dalam memastikan sesuatu riadah keluarga itu berjaya, sesuatu riadah hendaklah bermula dengan diri sendiri. Cuba tanya dalam diri, "Apakah riadah yang kita minati?" Bagi saya (contohnya), saya meminati sukan-sukan lasak seperti Rock Climbing, Wall Climbing, Skateboarding dan Mountain Bike Riding (MTB). Senaraikan yerrrrr, catatkan dalam nota kita.
Dapatkan Minat Pasangan atau Keluarga Kita.
  • Selepas kita telah memastikan minat kita, dapatkan pula minat keluarga kita berkaitan riadah yang mereka minati. (Kalau boleh siapkan senarai ringkas dalam buku harian kita. Tak kiralah banyak mana, sekalipun.) Ini termasuklah sukan atau riadah anak-anak kita sukai.
Kaji Senarai Yang Telah Kita Sediakan.
  • Setelah kita mempunyai senarai diri sendiri, pasangan kita dan anak-anak kita, kaji dan pilih aktiviti riadah yang kebanyakannya menjadi kesukaan keseluruhan ahli keluarga. Bagi saya dan keluarga saya, 5 dari 6 ahli keluarga saya memilih "Berbasikal" sebagai aktiviti riadah, meskipun ianya bukanlah pilihan utama semua ahli keluarga. (Seorang tak menyokong pasal masih bayi lagi….. hehehehehehe, tapi boleh dipupuk, kan.)
Kaji Kos Yang Bakal Terlibat.
  • Kos merupakan antara perkara penting dalam merancang Riadah Keluarga. Tiada satupun, riadah keluarga yang tidak melibatkan kos. Sekurang-kurangnya, kos permulaan seperti pakaian, keselamatan dan peralatan. Contohnya : Riadah "Berbasikal", kos yang terlibat kebanyakannya pada peralatan untuk kegunaan kita sesama keluarga. Tak payah la, sampai kita berbelanja besar untuk membeli sebuah basikal ribuan ringgit kecuali kita ingin terlibat secara langsung dengan sukan tersebut. Cukuplah dengan perbelanjaan yang ala-kadar. Selain dari itu, jangan lupa peralatan keselamatan, seperti topi keledar, kasut, pad siku, pad lutut, lampu belakang dan depan, dan pakaian yang bersesuaian untuk sukan berbasikal. 
  • Untuk lebih lanjut, kunjunglah ke kedai-kedai sukan / riadah pilihan anda untuk mendapatkan sedikit nasihat, berkaitan peralatan yang ingin anda gunakan.  Mereka tidak lokek untuk menasihatkan peralatan terbaik.  Jangan lupa nyatakan bajet kita sekali.  Jadi tidaklah mereka, merapu sampai ke peralatan yang mahal yang tidak termampu oleh kita. 
Rancang Kos Yang Terlibat.
  • Pembelian peralatan adalah satu yang menyakitkan, sekiranya tidak dirancang dengan baik. Seorang sahabat saya, yang teringin membuat riadah keluarga telah melakukan belian sekaligus, termenung panjang seharian memikirkan kos belian dengan rokok sekotak di depan rumahnya. Jadi, rancanglah pembelian dengan baik.  Dari situ saya belajar sedikit, bahawa, setiap pembelian peralatan memerlukan perancangan. Jangan terduduk berjam-jam bila pembelian telah dilakukan.
Maklumkan dan Bincangkan Secara Bersama Seisi Keluarga.
  • Riadah memerlukan kerjasama dan kerja sepasukan yang baik. Contohnya, Riadah Keluarga Berkhemah, memerlukan seorang Jurubina Khemah, yang memastikan khemah tegak berdiri, walaupun hujan turun dengan lebatnya. (Tidaklah nanti semua berlindung di bawah pokok bila hujan membasahi bumi.)  Jadinya, apa-apa perancangan pun tidak menjadi. 
  • Bagi memudahkan cara, maklumkan kepada keluarga terutama sekali pasangan berkaitan riadah pilihan kita dan bagaimana melakukannya.
Beli Peralatan Riadah Yang Asas Terlebih Dahulu, Baru Diikuti Peralatan Lain.
  • Seandainya, "Berbasikal" adalah pilihan Riadah Keluarga. Belilah Basikal dahulu biarpun murah. Janganlah dah beli basikal canggih yang mahal-mahal, penghujungnya tergantung di dinding sahaja.
"My Family Toys, Today from left : MERIDA Matts 40, Kona Four : Full Susp & MERIDA One-Five-O-800 :150mm Trail" : Image By 'theFLAME 2011 © 
Buatlah Aktiviti-Aktiviti Secara Terancang.
  • Sebagai permulaan, buatlah aktiviti berbasikal di kawasan persekitaran taman perumahan sahaja. "Kayuh pelan-pelan." kata rakan-rakan saya dalam arena berbasikal lasak hari ini. Bila kita rasa, kita perlu keluar dari kepompong taman perumahan, barulah bawa keluarga lebih jauh, contohnya, keluar jauh sedikit dari kawasan perumahan kita ataupun keluar kota seperti taman-taman rekreasi berbayar (Tak mahal pun, kebiasaannya sekitar RM3/- untuk sebuah basikal sahaja). 
  • Dengan perancangan yang baik, aktiviti akan berterusan kerana ianya telah teratur dari masa ke semasa dan keluarga akan lebih ingan terlibat dalam setiap aktiviti riadah dirancangkan. 
Cuba Libatkan Diri Dan Keluarga Dengan Kumpulan Masyarakat Persekitaran Yang Terlibat Dengan Aktiviti Yang Sama.
  • Untuk lebih jauh dan mendalami selok-belok aktiviti ini, kita perlu melibatkan diri dengan kumpulan masyarakat persekitaran yang terlibat dengan aktiviti ini. Bagi saya sendiri, selain dari mempelajari tatacara berbasikal yang baik, saya juga boleh berkenalan dengan golongan masyarakat taman perumahan saya, malah boleh menambahkan network. Jangan lupa, kenalkan minat diri dan keluarga yang sama seperti mereka. Dapatkan nombor telefon komunikasi. (Nanti kang, tak sampai ke manapun perancangan kita.)
  • Bermula dari situ, libatkanlah diri anda pada setiap aktiviti riadah pilihan anda, bila ada kelapangan. Banyak boleh dipelajari dari perkumpulan sebegini. termasuklah tatacara menjaga peralatan riadah kita, teknik penggunaan peralatan dan banyak lagi.
Lapangkan Ruang Masa Untuk Mengikuti Pertandingan.
  • Untuk menjadikan riadah keluarga lebih menarik, bawa keluarga terlibat dalam pertandingan-pertandingan kecil. (Tak kisah la…. kalau tak menang pun.)  Bagi berbasikal, kayuhlah bersama-sama. Anak perempuan saya, Aina tidak suka untuk berbasikal secara berkumpulan dengan kumpulan selain keluarga, namun suka memasak, jadi apa salahnya Aina dijadikan krew masakan atau refreshment kumpulan keluarga.  Sememangnya, Aina menjalankan tugasnya sambil melayan karenah Ariyana (yang sentiasa bersama bibiknya). 
  • Pertandingan mewujudkan minat supaya ahli keluarga sentiasa terlibat dengan aktiviti-akitiviti ini dari masa ke semasa. Jadi, minat akan sentiasa berterusan, selama mana kita wujudkan persaingan sesama kita dan keluarga.
Ajar Keluarga Menjaga Peralatan Riadah.
  • Selain dari menghargai peralatan yang kita telah beli, ia juga meningkatkan disiplin keluarga serta menilai erti setiap sen kita belanjakan. Emran (Anak Ke-2, saya), kini mampu untuk membersihkan kotoran-kotoran basikalnya sendiri. (So kurang sikit kerjakan.) 
  • Peralatan yang kita beli bukannya didapati percuma.  Dengan cara ini, peralatan sentiasa terjaga, jangka hayatnya juga akan lebih lama.  Secara tidak langsung, aktiviti keluarga dapat diteruskan sampai bila-bila. 
Penjadualan Riadah Sama Ada Secara Bulanan, Mingguan, Atau Tahunan.
  • Setelah segala peralatan sentiasa terjaga, penjadualan Riadah Keluarga harus dilakukan. Ini bagi memastikan ianya bukanlah hangat-hangat tahi ayam semata-mata.  Saya cadangkan, ianya diletakkan di dalam Kelendar Keluarga sebagai aktiviti dwi-mingguan ataupun mingguan. 
"661 for Eley" : Image By 'theFLAME 2011 © 
  • Takkan kayuh sekali dan berhenti untuk minggu seterusnya.  Ia merugikan, kerana pelaburan telah dilakukan, berkemungkinan telah mencapai ribuan ringgit. 
Gunakan Internet Untuk Mendapatkan Pelbagai Tips Berkaitan Aktiviti.
  • Ramai orang yang pakai tangkap muat untuk riadah keluarga, akhirnya tidak kemana. Internet merupakan sumber terbaik. Jadi layarilah, internet untuk tujuan menambah ilmu berkaitan riadah keluarga pilihan kita dan sedikit tips-tips tambahan berkaitan riadah.  Kadang-kala forum, Facebook dan Friendster juga satu ruang menarik untuk mendapatkan ilmu dengan semua golongan yang berminat sukan-sukan sebegini.
Galakkan Keluarga Dalam Aktiviti Pilihan.
  • Aktiviti Riadah Keluarga, kalau dilakukan sendirian bukanlah aktiviti riadah keluarga namanya. Jadi galakan hendaklah sentiasa kita lakukan buat pasangan dan anak-anak, supaya mereka terus bersama kita dalam aktiviti yang kita rancangkan. Saya ambil contoh aaktiviti Riadah Berbasikal Keluarga saya. Kadang-kala, muka Emran akan naik pucat menolak basikal ke puncak bukit. Namun berbekalkan kata-kata semangat Emran sampai juga ke puncak. Begitu juga, Elly yang keletihan merentas perjalanan 27 km berbasikal melalui lumpur, becar, sungai kecil dan lopak, namun dengan kata-kata peransang, Elly sampai juga ke destinasi akhir. Itulah galakan dan peransang namanya. 
  • Tidak dapat tidak, peransang dan galakan adalah injin setiap aktiviti Riadah Keluarga.  Kerana dari sinilah semangat dan keyakinan dapat dijana di dalam minda keluarga. 
Buat Cabaran Buat Keluarga, Termasuk Pertandingan Sesama Keluarga.
  • "Minggu depan, kita kayuh sebelah area XYZ, siapa yang juara kita letak kat notis board kat rumah sebagai juara. Ujung tahun dapatlah hadiah….." Elly dan Emran paling suka part ni. Pasal hujung tahun mereka boleh memilih hadiah pilihan. Almaklum nak masuk pertandingan bukannya senang nak menang. Jadi buatlah hadiah pertandingan kategori sendiri, iaitu "Kategori Keluarga." Saya suka hadiahnya adalah percutian bersama keluarga, walaupun di sebuah homestay murahan sahaja.
Ambillah Gambar Kenangan
  • Akhir sekali, setiap aktiviti ambillah gambar bersama-sama sebagai kenangan abadi buat keluarga. Sekiranya, terlibat dengan pertandingan, jangan lupa shoot, ia merupakan satu kenangan yang belum tentu berulang buat kita atau keluarga. Plus, Cetak dan Framekan.
"Rintangan Wajib Di Trek" : Image By 'theFLAME 2011 © 
"Elly Kayuh… Ly Kayuh" : Image By 'theFLAME 2011 ©
Itulah satu perancangan yang saya lakukan satu ketika dahulu, semasa mula-mula terlibat dengan aktiviti berbasikal lasak. Bermula dengan keinginan Elly yang nak turunkan berat badan dan hari ini menjadi aktiviti Riadah Keluarga wajib secara mingguan. Ianya merupakan resipi kehidupan keluarga saya untuk terus bekerjasama dalam menghadapi rintangan kehidupan.

Hari ini, pelaburan peralatan pun dah bertambah. Namun, kepuasan dapat dikecapi bersama demi sebuah keluarga yang saya idam-idamkan. Terima kasih Elly, Aina Yasmin (12 Tahun), Emran Hakim (10 Tahun), Emran Haziq (4 Tahun) dan Ariyana Yasmin ( 4 ke 5 tahun yang akan datang ).

Terima kasih kepada pembaca. Tips ini adalah khas saya kongsikan untuk semua.

p/s : Selamat membaca….. sudi-sudi komen untuk membina ilmu kita bersama. Salam dari saya… buat semua.

The PhotoBlogger

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...