Malaysia Web Hosting

Sunday, May 22, 2011

Kad Rawatan Pesakit : PERCUMA Tapi Kosnya Lebih Dari Yang Kita Sangkakan.

Teringat dengan entri semalam….. pasal kakitangan saya dapat surat dari Bahagian Perhubungan Awam, HSB.  Pagi-pagi lagi kakitangan saya, menunggu di depan pejabat dengan sabar (kot).
"Kena Mike? (Kenapa Mike?)" Saya bertanya (dalam Bahasa Melayu Sarawak).
"Sik ada apa, just nok tok….. " Dengan senyuman yang penuh keletihan sambil menunjukkan surat aduan pelanggan berkaitan dengannya.
Setelah masuk ke pejabat, saya membaca surat aduan pelanggan yang dipanjangkan kepadanya oleh Bahagian Perhubungan Awam.
"Tok penjelasan kamek, boss." Mike menambah lagi, sambil menghulurkan sekeping surat maklumbalas berkaitan perkara yang dibangkitkan.
Jelas, Mike sentiasa sedia menjelaskan isu berbangkit meskipun, keletihan.  Itulah 'amah kerajaan' yang setia dengan amanah meskipun sering menghadapi seribu macam cabaran dan dugaan.

Kebiasaannya isu yang dibangkitkan cukup mudah diselesaikan, hanya keegoan salah satu pihak sahaja yang sering menghalangnya.  Kebiasaannya, satu pihak akan menyatakan si penjawatan awam tidak menjalankan tugas, makan free, makan suap dan makan luar memanjang serta banyak lagi tanggapan.  Manakala di satu pihak lagi, menterjemahkan, awam tak faham itu, tak faham ini.  Sudahlah…..

-----o0o-----

Isu yang dibangkitkan hanyalah berkaitan "Kad Rawatan Pesakit (KRP)" yang dikeluarkan oleh pihak hospital kepada pesakit untuk kegunaan rujukan dan rawatan.  Di dalam kes ini, KRP yang sepatutnya disimpan dan dijaga dengan baik oleh pihak pesakit telah hilang.  (Dan, selepas disemak, si pesakit baru sahaja beberapa minggu mendapatkan rawatan di situ, takkan dah hilang kot.)  Bagi sesetengah kita, secara singkat berfikir "apalah nak difikirkan sangat, buat baru selesai kes".  Sememangnya betul, kalau dilihat dari sudut cerdik sebegitu, tapi sekiranya difikirkan sebaliknya lain pula ceriteranya kan.

Kad Rawatan Pesakit Foto Oleh 'theFLAME
Saya lebih setuju dengan penjelasan kakitangan saya.  Kakitangan saya mengandaikan bahawa sekiranya, seorang pesakit mempunyai sampai 10 keping KRP bersama Barcode berapa pula kosnya.  Setiap kali ke hospital satu kad KRP dengan pelekat barcode.  Kalau dah 10 kali hadir ke hospital dengan satu kad KRP baru, bayangkan berapa banyakkah kad KRP dimiliki oleh seorang pesakit.  Bukankah itu, pembaziran.  Mungkin murah bagi kita yang rasanya kaya tak seberapa.  Tapi,  kertas manila dengan barcode tidaklah semurah kertas tisu yang kita gunakan di rumah bukan. Kos cetakan termasuk dakwat yang mahal, elektrik digunakan dan kos percetakan kad KRP juga tidak boleh dikecualikan. Berapakah pula, yang kita bayar untuk rawatan setelah mendapat subsidi kerajaan. RM1/- ke RM5/- sahaja. Fikir-fikirkan lah.

Remehnya…… Kitakan bayar cukai kepada kerajaan.  Yep…. saya pun, malah semuapun.  Tapi kalau dibazirkan, apalah gunanya.

KRP berpelekat barcode hospital adalah segalanya bagi seorang pesakit hospital dan pengurusan sesebuah hospital.  Di dalamnya terdapat maklumat rekod pesakit.  Di dalamnya terdapat segala perkara  berkaitan darah, ubat, elergi malah keturunan, hinggalah kewarganegaraan.  Ianya merupakan Kad Pengenalan sementara di dalam hospital.  Kertasnya hanyalah kertas manila berwarna biru yang ditampal dengan barcode untuk rujukan hospital.

Tampak murah dipandang mata, tapi bernilai di sudut identiti individu pesakit itu sendiri. 

Yang amat dirisaukan, bila ianya jatuh ke tangan orang lain. Informasi di dalamnya boleh disalahgunakan.  Ini kerana dengan sekali imbas barcodenya sahaja, semua data peribadi individu pesakit di hospital akan dipaparkan diskrin komputer hospital.  Ini termasuklah laporan-laporan perubatan yang hanya kosnya sebanyak RM40 sahaja.  Bukankah itu mengundang risiko lain kepada pesakit pula.

Alasan "Kad Hilang" adalah tidak relevan, kerana ianya boleh disimpan di dalam poket dompet, pas tangan wanita, malah di dalam fail peribadi.

Alasan "Pihak Perubatan mengarahkan pesakit untuk mendapat cetakan baru." juga tidak relevan.  Kad KRP yang begitu banyak akan membingungkan mereka sendiri akhirnya.

Jadi, apa yang relevan? Yang relevan ialah, satu kad KRP untuk satu pesakit, itu sahaja.  Menjaganya mudah sahaja.  Simpanlah ia sebaik-baiknya.  Tanamkan sifat kekitaan.  Yang kita bazirkan duit kita, bukan duit orang lain.

Umumnya, adalah sukar sungguh mendidik masyarakat yang selalu memandang remeh apa yang kerajaan lakukan.  Bila kita kata kena berjimat, katanya kerajaan kena melakukan terbaik untuk rakyat.  Sememangnya, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk rakyatnya.  Namun, kalau kita sendiri asyik menbazirkan setiap sen duit kerajaan, apalah daya penjimatan yang kita lakukan.  Cukuplah subsidi itu ini, telah dikurangkan hari ini.  Jangan nanti subsidi itu ini di hospital pula yang diambil kembali.

Dengan sedikit motivasi, kakitangan saya, saya bangkitkan semangat semula.  Alhamdullilah, kakitangan saya yang dah kena maki hamun tu, bersemangat semula. Kesian dia tidaklah kemana, kerana mampu memikirkan yang terbaik demi negara.  Tapi, kesian saya pada yang memaki dan memarahinya. Kakitangan saya tidaklah melaungkan takbir untuk berjimat kerana bukannya perlu ia melakukannya begitu, tapi si pemaki sendiri perlu ingat lafaz doa iftitahnya kepada YANG SATU. 

Renung-renungkan……

p/s: Membazir itu perbuatan syaitan kan….. hehehehehheh.  Malu eh…. bila seorang yang tak tahu tentang nas tersebut menegur kita.  Terima Kasih, En. Mike (nama saudara yang panjang sangat nak sebut la).  Buat semua, kalau ada kad pesakit tu, simpan-simpanlah, dan gunakannya semasa mendapat rawatan nanti.  Jangan membazirkan setiap sen yang negara berikan kepada kita.

'theFLAME
ThePhotoBlogger

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...